Dari sudut linguistik, perkataan ‘Madrasah’ seperti sedia maklum membawa maksud tempat belajar terutama sekali ilmu tentang perihal agama. Jika diamati, menimba ilmu yang bermanfaat pula merupakan salah satu bentuk ibadah yang mampu mendekatkan diri insan dengan Rabbnya. Dalam kita meniti jalan menghampiri bulan yang sarat dengan rahsia-rahsia tertentu, apakah harapan kita? Dalam kita menelusuri maknawi salah satu asma’ Allah ‘Al-Mujib’ (Yang Maha Mengabulkan), mungkin dapat kita mengingatkan diri kita bahawasanya tangan yang diangkat untuk memohon dan meminta kepada Allah merupakan suatu perakuan kebesaran Allah. Justeru, bulan suci Ramadhan merupakan bulan yang terbaik untuk kita mengeratkan lagi hubungan kita dengan Allah. Merintihlah. Merayulah. KepadaNya.
Dalam usaha kita mengakrabkan lagi hubungan kita dengan Allah sepanjang bulan suci Ramadhan, mungkin dapat kita mempertimbangkan persoalan berikut:
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mengakrabkan hubungan kita dengan Allah’?
Bagaimanakah caranya untuk kita membuat Ramadhan kali ini lebih bermakna?
Apakah rahsia yang terkandung dalam ibadah berpuasa pada bulan Ramadhan?
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Asrar al-Sawm (Rahsia-rahsia Puasa), terdapat tiga darjat puasa iaitu (1) puasa orang awam (sawm al-umum), (2) puasa orang terpilih (sawm al-khusus), dan (3) puasa ‘orang elit’ dalam kalangan mereka yang terpilih (sawm khusus al-khusus).

Puasa orang awam (sawm al-umum) bermaksud puasa al-umum di mana kita menahan diri daripada menurut syahwat perut dan kemaluan. Seterusnya, puasa orang terpilih (sawm al-khusus) pula membawa maksud puasa di mana kita menghindarkan anggota-anggota badan kita (telinga, mata, tangan, kaki, lisan kita) daripada melakukan dosa. Akhir sekali, puasa ‘orang elit’ (crème de la crème) dalam kalangan mereka yang terpilih (sawm khusus al-khusus) bererti puasa hati daripada sebarang kelalaian (fikiran bersifat keduniaan) yang menyibukkan fikiran seseorang memikirkan selain daripada Allah. Dengan merujuk kepada tiga darjat orang berpuasa, mungkin dapat kita mempertingkatkan lagi kualiti ibadah puasa kita berbanding tahun-tahun lepas.
Sekiranya tahun-tahun sebelum ini, puasa pada bulan Ramadhan bererti menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tahun ini – sesetengah hari mungkin dapat kita cuba puasakan hati kita atau meninggalkan urusan yang kurang bermanfaat seperti mengadu domba dan sebagainya. Bak pepatah, alah bias tegal biasa dan sikit-sikit lama-lama pasti menjadi bukit. Semuanya diniatkan dengan tujuan mengeratkan lagi hubungan kita dengan Allah. Berlarilah. Bergantung haraplah. KepadaNya.
Sehubungan dengan itu, langkah-langkah kecil yang boleh diambil untuk mempersiapkan diri kita untuk bulan suci Ramadhan adalah dengan membiasakan atau mendisiplinkan diri kita untuk sentiasa berada dalam keadaan berzikir. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Al-adhkar wal Da’awat berpesan betapa pentingnya bagi seseorang melatih diri untuk sentiasa berzikir. Zikrullah yang pada awalnya hanya sebutan sahaja, lama kelamaan mengikat kita dengan apa yang dizikirkan. Kemudian, zikir tersebut akan menjadi suatu perkara yang menghubungkan kita dengan Allah. Dalam erti kata lain, menghidupkan Allah dalam hati kita.
Bertitik tolak daripada pernyataan di atas, Sheikh Sa’id Ramadhan al-Buti dalam kitabnya Bāṭin al-Ithm: al-Khaṭar al-Akbar fī Ḥayāt al-Muslimīn (Dosa Tersembunyi) menekankan kepentingan bagi seseorang memiliki wirid-wirid harian tertentu untuk mencapai maqam ihsan iaitu meningkatkan lagi kesedaran bahawasanya Allah sedang memerhatikan kita apabila kita sedang beribadah. Dengan kesedaran tersebut, maka kecenderungan seseorang untuk menerbitkan perasaaan sombong, riak, hasad, cinta dunia akan terbantut. Hidup ini sememangnya satu perjalanan menuju Allah. Bersimpuhlah. Pohonlah. KepadaNya. Dengan harapan Ramadhan kali ini lebih bermakna.
Rujukan
- Muhammad Najmi Rohaizad Mohd Nazri & Ahmad Naqiuddin. 2020. Dosa Tersembunyi: Bahaya Terbesar Dalam Kehidupan Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: Nizamiyyah Publications & Distributors.
- Muhammad Yusra Hulaimi. 2021. Rahsia-Rahsia Puasa oleh Imam Al-Ghazali. Selangor: The Biblio Press Enterprise.