Adab: Beradabkah kita?

Perkataan ‘adab’ pada masa kini seringkali disempitkan kepada ruang lingkup moral dan etika. Lanjutan itu, ‘adab’ dikaitkan dengan perihal kod etika – cara seseorang bertutur, bergaul, bermuamalah dengan orang yang lebih tua, tinggi status sosialnya. Dari sudut etimologi kata, perkataan ‘adab’ berasal daripada bahasa Arab yang dibawa masuk dalam kosa kata bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘adab’ membawa maksud tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus; perihal kesopanan. Oleh yang demikian, perihal adab juga dikatakan tidak terhad kepada santunnya tingkah laku seseorang tetapi meliputi kesopanan bahasa yang mencerminkan keperibadian seseorang.

blur close up flower hands

Menurut Awang Sariyan dalam Santun Berbahasa, kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia, dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip utama kesantunan berbahasa dan kaitannya dengan agama Islam berpaksikan dua peranan utama manusia di atas muka bumi iaitu (1) menyeru kebaikan (amar ma’aruf); dan (2) mencegah kemungkaran (nahi mungkar). Sehubungan dengan itu, Hamka juga menyatakan bahawa kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang; bukan pada wajah dan pakaiannya. Penulis berpendapat bahawa ‘ketinggian ilmu’ di sini bukanlah bermaksud lulusan akademik atau tahap pendidikan seseorang. Hal ini demikian kerana kewibawaan seorang ilmuwan tidak bergantung kepada sebanyak mana ilmu seseorang ‘tahu’ (ilmu yang bertapak di dada) tetapi bagaimana seseorang beramal dengan ilmu sedikit yang dimilikinya dan dimanfaatkan oleh orang sekelilingnya. Manifestasi adab dalam diri seorang ilmuwan sebenar jelas terpancar.

“Adab tidaklah terhad kepada perihal tingkah laku atau pemilihan bahasa semata. Adab juga bererti kita meletakkan diri kita pada tempat yang sebaik mungkin; melaksanakan tuntutan, peranan kita di muka bumi ini dengan sebaik mungkin.”

Berdasarkan pengamatan penulis, dikotomi antara ‘orang yang beradab’ dan ‘orang yang tidak beradab’ dalam masyarakat Melayu secara umumnya adalah melalui tingkah laku yang dipamerkan oleh seseorang. Sungguhpun begitu, adakah ‘adab’ hanya terhad kepada perihal etika – tingkah laku atau pemilihan bahasa seseorang sahaja?

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, adab juga membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya (“recognition of the proper places of things”). Dalam usaha meneliti cara kita meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya, mungkin kita boleh pertimbangkan persoalan berikut:-

  • Adakah kita berlaku adil apabila kita melakukan sesuatu perkara?
  • Wajarkah kita melakukan perkara tersebut?
  • Apa yang dimaksudkan dengan ‘tempat yang sewajarnya’?

Konsep keadilan amat sinonim dalam usaha kita cuba merungkai maknawi adab. Terdapat syarat-syarat tertentu yang wajar dipertimbangkan apabila seseorang mengatur langkah secara beradab. Oleh itu, adab tidaklah terhad kepada perihal tingkah laku atau pemilihan bahasa semata. Adab juga bererti kita meletakkan diri kita pada tempat yang sebaik mungkin; melaksanakan tuntutan, peranan kita di muka bumi ini dengan sebaik mungkin. ‘Sebaik mungkin’ di sini membawa maksud berlaku adil terhadap diri sendiri dan orang sekeliling.

bright bulb close up conceptual

Bertitik tolak daripada persoalan di atas, bagaimana pula adab kita dengan Pencipta kita? Di mana kita letak Allah dalam peta hidup kita? Setiap sesuatu ada tempat tertentu dalam ekosistem kehidupan. Oleh yang demikian, dapat dilihat kepentingan memiliki kerangka berfikir yang tersusun agar wujudnya keteraturan dalam proses berfikir berlandaskan acuan pemikiran yang sahih berteraskan tradisi keilmuan Islam. Walhasil, proses perubahan itu bermula dengan apa yang kita mampu. Sikit-sikit lama-lama pasti menjadi bukit. Beradabkah kita? Tepuk dada, tanya iman. Dunia ini sememangnya satu perjalanan menuju kepada Allah.

Liyana Ramlan

Liyana Ramlan merupakan seorang guru bahasa Melayu.

Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (BA) dalam bidang bahasa Melayu dan Sarjana Pengajian Melayu (MA) dalam bidang penterjemahan bahasa Melayu-Inggeris di bawah penyeliaan
Prof. Dr. Puteri Roslina Abdul Wahid di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.