Pejam celik, kita sudah pun berada di penghujung tahun 2020. Suatu tahun yang penuh dengan cabaran yang menguji mental dan fizikal. Pastinya, setiap lapisan umur dalam masyarakat menghadapi dugaan yang berlainan dan juga berbagai jalan penyelesaian.
Bagi sesetengah orang, sekali pandang, pembelajaran yang dilakukan dalam talian kelihatan menarik dan lebih memudahkan para pelajar. — Thahirah

Sebagai seorang pelajar, saya turut sama terkena tempiasnya. Sebelum ini, kita banyak mendengari kisah mereka yang terkesan dengan pandemik yang melanda dalam sektor pekerjaan. Menurut saya, ada eloknya jika saya juga berkongsi kisah tentang pengalaman jerih perih dari sudut pandang seorang pelajar pula. Saya pasti kisah ini hanyalah cebisan sedikit daripada apa yang benar-benar dirasai oleh pelajar-pelajar lain semasa menjalani pengajian sewaktu Covid-19.
Bagi sesetengah orang, sekali pandang, pembelajaran yang dilakukan dalam talian kelihatan menarik dan lebih memudahkan para pelajar. Saya juga pernah suatu ketika berpendapat sedemikian dan mengharapkannya. Namun, apabila benar-benar diberikan kesempatan untuk merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara dalam talian, ia sedikit sebanyak telah membuka mata dan membuka ruang bagi saya untuk memperbanyakkan syukur.
Kebanyakan dari kita, hanya dengan beberapa sentuhan pada telefon bimbit, boleh sahaja membuat pencarian segera atau paling tidak mesej whatsapp akan mula muncul di notifikasi. Jika pada hari tersebut kita tidak sempat menambah nilai nombor ‘prepaid’, pusat membeli belah atau restoran makanan segeralah yang akan menjadi destinasi kita untuk mendapatkan sambungan wi-fi. Dengan kata mudahnya, di Singapura kita beruntung kerana kita dilengkapi dengan berbagai macam kemudahan. Dari rangkaian internet kepada kelengkapan pembelajaran dalam talian seperti komputer riba, alat pencetak dan sebagainya.
Dari situ, saya mula menyedari dan menghargai perkara-perkara yang dianggap kecil oleh sesetengah orang pada semester lepas apabila saya dan rakan sekelas terpaksa menjalani pembelajaran dalam talian dek Covid-19. Sebahagian daripada mereka menetap di kawasan pedalaman di Malaysia dan kadangkala susah bagi mereka untuk mendapatkan rangkaian Internet yang stabil. Sedang elok kita mendengar dan mencatat apa yang disampaikan oleh pensyarah, tiba-tiba kita terkeluar dari Google Meet atau Zoom. Untuk sertai semula kelas, bukan hanya mengambil beberapa saat, kadangkala sehingga setengah jam! Perkara yang disampaikan oleh pensyarah tadi pun, tidak mustahil sudah terlepas. Namun, perkara ini tidak pernah dijadikan sebagai satu hambatan bagi rakan-rakan saya di sana. Mereka malah mencari alternatif lain supaya tidak ketinggalan seperti menonton semula rakaman kelas atau membincangkan kembali topik tersebut bersama rakan sekelas.

Satu contoh lain boleh dilihat daripada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di mana dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan rangkaian internet yang kuat supaya dapat menjawab peperiksaan dalam talian. Pelajar yang bernama Veveonah Mosibin menetap di Pitas, Sabah berjaya menjawab 2 kertas peperiksaan; Kimia dan Pengajian Malaysia sepanjang berada di atas pokok itu. Melihatkan usaha-usaha mereka ini, sering membuatkan saya terfikir: jika mereka boleh bersungguh-sungguh dalam pelajaran, mengapa tidak saya?
Selain daripada itu, saya terpanggil untuk bermuhasabah terhadap cara pembelajaran saya sebelum ini. Sebenarnya, menerusi pembelajaran online inilah kita dapat mengetahui diri kita sendiri sama ada kita benar-benar ingin menuntut ilmu atau sekadar mengikut ‘flow’ kehidupan. Selama ini, saya sering memberikan alasan sibuk jika diminta untuk membaca sebelum kelas bermula. Berada dalam peringkat universiti bukan hanya sekadar menunggu untuk disuapkan maklumat ataupun ilmu. Seorang pelajar seharusnya membaca, melakukan penyelidikan individu dan memahami subjek tersebut. Di dalam kelas adalah tempat untuk pelajar mendapatkan pengesahan kepada pemahaman mereka dan memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang tersebut dengan menanyakan soalan-soalan yang berkaitan. Pembelajaran secara dalam talian sebenarnya membukakan ruang kepada pelajar untuk melakukan hal ini dengan perlengkapan yang hanya sebatas sentuhan pada papan kekunci komputer ataupun telefon pintar.
Pengalaman melalui pembelajaran secara atas talian juga telah banyak mengajar saya erti menghargai masa. Mereka yang telah melalui perkara yang sama pasti akan bersetuju dengan saya jika saya mengatakan bahawa masa berlalu lebih pantas daripada biasa dan beban kerja atau ‘workload’ lebih banyak dan berat jika dibandingkan apabila kita berada di kampus secara fizikal. Apabila pembelajaran dilakukan secara dalam talian, sudah tentu sistem pemarkahan juga akan berubah dan lebih tertumpu kepada tugasan yang diberikan sepanjang minggu pembelajaran. Nilai peperiksaan akhir hanya meliputi 30% daripada keputusan keseluruhan. Untuk 1 subjek akan ada tugasan yang diberikan setiap minggu. Secara tidak langsung, pelajar harus pandai membahagikan masa untuk melengkapkan tugasan yang ada sebelum tarikh yang ditetapkan. Ini belum lagi termasuk tanggungjawab kita sebagai anak yang turut harus digalas. Melengah-lengahkan pekerjaan sudah tentu bukanlah jalan penyelesaian bagi perkara ini malah ia hanya akan membuat pelajar berasa tertekan kerana tugasan yang semakin menimbun. Menerusi pengalaman ini, saya belajar untuk membahagikan masa saya dengan seeloknya supaya dapat menghabiskan tugasan dan pada masa yang sama berkhidmat dan meluangkan masa bersama keluarga. Ya, ia sememangnya bukan suatu perkara yang mudah tetapi percayalah mungkin disebabkan oleh usaha untuk melakukan tanggungjawab kita dengan sama rata, ia akan mempermudahkan urusan lain.
“Saya mengharapkan bahawa ia menjadi suatu iktibar kepada diri saya dan juga para pembaca dan bukanlah rungutan semata“
-Thahirah Tahir
Tujuan perkongsian saya ini adalah saya mengharapkan bahawa ia menjadi suatu iktibar kepada diri saya dan juga para pembaca dan bukanlah rungutan semata. Mereka yang mungkin sudah memulakan semester, boleh menilai kembali minggu-minggu sebelum dan cuba memperbaiki diri. Bagi mereka yang ingin memulakan semester baru, ia adalah satu permulaan yang baik untuk membuat persediaan dan perancangan awal. Kita juga dianjurkan untuk sentiasa tajdid atau memperbaharui dan memperbetulkan niat supaya segala apa yang dilakukan hanya untuk Allah swt.

