99 Nama Cinta: Al-Adl

Dibentangkan oleh: Ustaz Haziq Rahmat

Adakah kita patut berbalas mereka yang menzalimi kita dengan keburukan dan kezaliman?

Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah Hadith: bahawa Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

“Wahai Hamba-hambaku, Aku (Allah) telah mengharamkan kezaliman keatas diriku dan aku (Allah) menjadikan kezaliman itu  di antara kamu suatu perkara yang haram, maka janganlah berlaku zalim.”

Daripada sini kita dapat tahu bahawa Allah SWT tidak menzalimi sesiapa pun. Kata lawan kepada perkataan Az-Zulm (kezaliman) adalah Al-Adl (keadilan). Justeru kita dapat tahu bahawa Allah SWT itu adalah yang Maha Adil.

Dan dengan kita tahu perkataan Al-Adl ini, sebagai salah satu nama Allah SWT, kita dapat cungkil daripadanya beberapa pengajaran dan faedah.

Yang pertama, kita perlu tahu bahawasanya Allah SWT adalah yang Maha Adil; Dialah yang mentadbirkan Dunia ini, Dia yang menetapkan takdir kita. Justeru, apa-apa yang berlaku dalam Dunia ini lebih-lebih lagi perkara yang berlaku kepada kita ialah daripada Allah SWT yang Maha Adil. Dengan pemikiran tersebut, kita dapat menjalani kehidupan kita sebagai seorang Muslim dengan lebih konfiden kerana kita tahu apabila kita ditimpa musibah atau dilanda masalah, kita tahu bahawa yang meletakkan kita dalam situasi tersebut ialah Allah SWT yang Maha Adil. Mustahillah untuk Allah SWT yang Maha Adil untuk menzalimi kita dan menjadikan masalah atau musibah tersebut sebagai suatu perkara untuk menjatuhkan kita ataupun akan menghancurkan kita. Sebaliknya, musibah tersebut adalah untuk kebaikan kita sendiri. Kerana yang meletakkan kita dalam situasi itu adalah Allah SWT yang Maha Adil.

Yang kedua, keadilan Allah SWT kita dapat lihat daripada penilaiannya terhadap kita. Kita semua akur bahawa kita dilahirkan di Dunya ini dengan perbezaan antara satu sama lain. Mungkin ada yang dilahirkan dengan kecerdikan, mungkin ada yang perlu usaha lebih untuk menjadi orang yang cerdik, ada yang tibggi, ada yang kurang tinggi dan sebagainya. Namun, keadilan Allah SWT tidak melihat kepada semua perkara tersebut. Sebaliknya, Allah SWT melihat kepada ketaqwaan kita sahaja sepertimana yang difirman Allah SWT:

اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ

“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”

Maka kita tidak perlu risau jika kita tinggi atau kurang tinggi, kita pandai atau tidak pandai dan sebagainya. Kerana untuk menjadi seseorang yang mulia di sisi Allah SWT, kita haruslah menjadi seorang yang bertaqwa. Untuk menjadi seorang yang bertaqwa ini, ia tidak mengambil kira tempat, masa dan situasi kita. Inilah keadilan Allah SWT yang paling tinggi.

Ketiga, Kita perlu tahu bahawa dengan keadilan Allah SWT, apa sahaja yang berlaku di Dunya ini akan dibalas di Akhirat kelak. Contohnya apabila seseorang itu membuat suatu perkara yang baik walaupun tidak dilihat ramai, tetapi dia tahu bahawa Allah SWT melihat amalan tersebut dan dia juga tahu keadilan Allah SWT dia akan dibalas di akhirat kelak. Begitu juga kepada mereka yang menzalimi kita. Adakah kita patut utnuk berbalas dengan keburukan dan kezaliman? Tentunya tidak, kerana dengan pemikiran bahawa keadilan Allah SWT itu yang paling tinggi, kita tahu sesiapa yang menzalimi kita akan dibalas di akhirat kelak. Kesimpulannya, kita tidak perlu risau apabila menjalani hidup kita di Dunia ini. Dengan keadilan Allah SWT hidup kita terjamin. Ini adalah kerana kita tahu bahawasanya apa-apa yang berlaku kepada kita ni, berlaku daripada Allah SWT jadi kita kena tahu dengan keadilan Allah SWT dia tidak akan menzalimi kita. Dia tidak akan jadikan sesuatu perkara untuk menghancurkan kita atau membinasakan kita.

Seterusnya, kita tidak perlu menjadi seorang yang kacak, yang cantik, yang kaya, yang tinggi dan sebagainya untuk menjadi seorang yang mulia di sisi Allah SWT kerana Allah SWT menilai kita mengikut ketaqwaan kita, mengikut amalan kita sahaja. Seperti yang disebutkan, amalan kita ataupun ketaqwaan ini dapat dilakukan di mana-mana sahaja, tidak kira tempat, masa atau situasi kita.

Akhir sekali, kita tahu bahawa apa-apa yang terjadi di Dunya ini akan dibalas di Akhirat nanti dan kita tidak perlu risau jikalau kita membuat sesuatu perkara yang baik dan tidak dilihat ramai, atau kita takut orang yang menzalimi kita tidak akan dapat balasannya.