Kehidupan ini ibarat roda, kadang di atas, kadang di bawah.
Kehidupan ini ibarat laut, kadang ia pasang, kadang ia surut.
Kehidupan ini ibarat pelangi, kadang terlihat, kadangnya tidak.
Itulah kehidupan di tahun 2020, merupakan satu zaman tercatat di dalam sejarah yang tidak pernah dijangkakan oleh manusia. Suasana yang terang menjadi gelap, yang riuh menjadi sepi, yang ramai menjadi sedikit, pekerja dipecat, syarikat mundur, sekolah ditutup, nasib tidak menyebelahi kita pada tahun tersebut, salah siapa?

Jangan sesekali kita lupa, di sebalik kesusahan, kerisauan dan gundah gulana yang dialami oleh setiap manusia, ianya adalah aturan dan susunan dari Allah SWT, dan setiap perkara yang Allah susunkan itu, hikmah yang banyak pasti menyusul, baik ianya merupakan kesenangan, ketenangan atau yang lain. Firman Allah SWT:
فَإِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا – إِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (5) (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (6)” [Surah As-Sharh; Ayat 5-6]
Namun, ramai yang terlepas pandang akan perkara ini, mula dengan mengadu nasib dan merintih, sehingga mengungkap kata-kata yang buruk dan akhirnya mencela tahun itu sebagai tahun yang tidak membawa tuah malah musibah. Ungkapan seperti “Tahun ini tahun yang buruk bagi kami!”, “Tahun 2020 adalah bad luck”. Ini antara contoh ungkapan yang terlarang kerana dalam kita mencela zaman, sebenarnya kita telah mencela pencipta zaman iaitu Allah SWT seperti apa yang disebutkan di dalam hadith dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda,
قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ بِيَدِيَ الْأَمْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ
“Allah SWT berfirman, “Anak Adam telah menyakiti-Ku (kerana) dia suka mencela waktu (masa). Padahal Aku-lah pencipta (pengatur) masa. Aku-lah yang menggilir antara siang dan malam”. [HR. Bukhari no. 4826 dan Muslim no. 2246]

Juga terdapat hadith yang tegas melarang perbuatan mencela masa. Rasulullah SAW bersabda,
لَا تَسُبُّوا الدَّهْرَ، فَإِنَّ اللهَ هُوَ الدَّهْرُ
“Janganlah mencela masa, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala adalah (pengatur) masa.” [HR. Muslim no. 2246]
Namun ungkapan begini sering berada di hujung lidah tatkala nasib tidak menyebelahi kita. Persoalannya, adakah ianya tidak dibenarkan sama sekali ataupun dibolehkan dengan syarat yang tertentu?
Di sini, dibahagikan kepada tiga situasi yang boleh kita membezakan antara celaan dan pengkhabaran terhadap masa.
Pertama: Jika seseorang mengatakan sesuatu terhadap masa dengan niat untuk mengkhabarkan dan bukan untuk mencela, maka ini dibolehkan, kerana niatnya adalah murni dan setiap amalan itu bergantung pada niat seseorang hamba seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, di dalam hadith riwayat ‘Umar Radhiyallahu Anhu:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Setiap amalan bergantung pada niatnya” [HR.Bukhari, no. 1 dan Muslim, no. 1907]
Contohnya ungkapan seseorang, “Tahun ini amat sukar bagi kami” atau, “Tahun ini adalah tahun yang mencabar.” Semisal dengan bahagian pertama ini adalah ucapan Nabi Luth AS:
هَذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ
“Ini adalah hari yang amat sulit.” [Surah Huud : Ayat 77]
Oleh itu, ungkapan yang merupakan pengkhabaran tanpa celaan atas masa dibolehkan.
“Namun ungkapan begini sering berada di hujung lidah tatkala nasib tidak menyebelahi kita. Persoalannya, adakah ianya tidak dibenarkan sama sekali ataupun dibolehkan dengan syarat yang tertentu?”
– Norhakim IbnSiddiq

Kedua: Celaan atas masa kerana ada keyakinan atau kepercayaan bahawa masa itu sendiri yang menjadi pelaku atas kebaikan dan keburukan yang terjadi di dunia ini, dan bukan Allah SWT.
Contohnya ungkapan seseorang, “2020 memang tahun yang buruk dan musibah bagi kita, kalau kita tak lalui tahun ini, pasti kita akan berjaya. Aku benci 2020!” dengan keyakinan dalam hati bahawa masa itu sendiri adalah punca atas kejadian yang dihadapi dan tidak berbalik kepada Allah SWT.
Ini adalah perbuatan syirik yang termasuk Syirik Akbar (besar) dan tidak boleh sama sekali dilakukan, serta jelas larangannya kerana tidak ada pelaku atas kebaikan dan keburukan selain Allah SWT . Justeru, mempercayai adanya pelaku atau pencipta selainNya, termasuk dalam perbuatan yang syirik.

Ketiga: Mencela masa tanpa ada keyakinan dan kepercayaan bahawa masa adalah pelakunya (seperti yang telah dikatakan di bahagian yang kedua) tapi mencela kerana masa yang mempunyai kaitan dengan nasib yang dialami.
Contohnya ungkapan seseorang:
“Aku tahu semua ini adalah aturan Allah, tapi 2020 memang tahun yang musibah, perniagaan kita semua terpaksa tutup, aku tak suka tahun ni.”
Perbuatan ini tidak sampai ke tahap mensyirikkan Allah namun ianya diharamkan. Ini kerana celaan tersebut pada hakikatnya kembali kepada pencipta masa iaitu Allah SWT. Dialah yang mencipta dan mengatur masa atas segala kebaikan dan keburukan sesuai dengan kehendakNya keatas makhlukNya.
Ini adalah tiga situasi yang harus kita berhati-hati ketika mengungkap perkataan berkenaan masa. Dikhuatiri jika ungkapan itu boleh menjerumuskan kita kepada dosa yang besar atau yang padah membawa kepada mensyirikkan Allah SWT.
Harus kita bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah berikan, bersyukur atas segala aturan yang telah disusun oleh Allah SWT, bersyukur atas segala sebab yang berlaku yang bukanlah untuk menzalimi, tapi diikuti dengan hikmah sebaliknya. Firman Allah SWT:
لَإِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” [Surah Ibrahim; Ayat 7]

