99 Nama Cinta: Al-Haqq

Apa itu Al-Haqq?

Al-Haqq adalah salah satu nama Tuhan yang diterjemahkan sebagai Yang Maha Benar. Al-Haqq datang daripada perkataan “Ha-Qa-Qa / حَقَقَ. Kalau dilihat dari segi linguistik atau ilmu Bahasa arab, ia mempunyai 3 maksud:

Yang pertama: Ia mempunyai huruf Ha dan Qa, dan membawa konotasi yang solid, stabil atau tidak berubah.

Yang kedua: Ia selari dengan setiap keadaan dan masa. Kita dapat lihat di dalam salah satu Surah di dalam Al-Quran yang berbunyi “Al-Haqqah” yang bermaksud Hari yang Benar.

Di antara perkara-perkara yang dapat kita pelajari daripada nama Allah SWT Al-Haqq ini adalah yang berikut:

Yang pertama: Perlu bagi kita untuk berbicara dengan perkataan-perkataan yang benar dan mempunyai bukti yang kukuh (substantial proof). Pada zaman kini, terdapat banyak berita yang rosak, palsu, poyo dan sebagainya. Justeru itu, kita harus berpegang kepada nama Allah SWT ini, dan mengingati bahawa kebenaran merupakan sesuatu yang memandu kehidupan kita dengan lebih baik.

Yang kedua: Kita dapat mengingati janji Allah SWT pada masa yang susah. Sebagai contoh, kita dapat mengingatiNya pada saat ekonomi yang teruk, saat kejatuhan kita dan sebagainya. Kita mengingati nama Allah SWT, bahawa Dialah yang Maha Benar dengan janjiNya, dan Dia akan senantiasa menolong HambaNya yang beriman. Kita boleh lihat perkara ini di dalam Al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Fussilat Ayat 30:

اِنَّ الَّذِيْنَ قَالُوْا رَبُّنَا اللّٰهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوْا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلٰۤىِٕكَةُ اَلَّا تَخَافُوْا وَلَا تَحْزَنُوْا وَاَبْشِرُوْا بِالْجَنَّةِ الَّتِيْ كُنْتُمْ تُوْعَدُوْنَ

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan kepadamu.”

Merekalah yang berkata bahawa Tuhan mereka adalah Allah, maka akan turun kepada mereka Sakinah (ketenangan dan kebahagiaan). Allah SWT meneruskan di dalam ayat tersebut dan yang selanjutnya bahawa syurga dijanjikan kepada orang-orang yang yang beriman. Kekayaan dan kuasa Allah SWT mesti kita ingat dan pegang, dan kita perlu mempercayai bahawa Dia tidak akan memungkiri janjiNya.

Yang ketiga: Dengan nama Allah SWT Al-Haqq, dapat kita pelajari, pegang dan ingat kepadaNya. Dengan saat kehidupan kita sekarang ini, telah berleluasa penipuan dan pemahaman yang salah disebarkan. Kepada mereka yang belajar dan menekuni ilmu agama, apabila kita mahu membincang tentang isu-isu berat, kita mesti mempunyai lensa yang benar. Baru-baru ini saya berbincang dengan seorang professor, tentang isu perhambaan dalam Islam serta perkahwinan Aisyah RA dengan Nabi SAW. Dalam mengetengahkan isu-isu sedemikian, kita tidak boleh melihat hanya daripada lensa pasca pemodenan alam, akan tetapi, kita perlu balik kepada sejarah. Dari situlah akan kita fahami makna perhambaan yang sebenar. Apakah makna perhambaan? Samakah perhambaan Islam dengan perhambaan zaman awal Amerika dahulu? Jika kita hendak bahaskan topik-topik ini secara teliti, kita perlu membahaskannya dengan keadilan dan kefahaman yang betul. Jikalau kita gunakan konsep orang barat terhadap topik tersebut, maka tidak samalah cara kita melihatnya dari sudut konsep Islam. Cara melayan dan tujuannya turut berbeza.

Wallahu A’lam Bissowab.  

Dibentangkan oleh: Ustaz Faizuddin Fauzan