99 Nama Cinta: Al-Ghaniy

Bolehkah kita hidup tanpa Allah SWT? Bolehkah kita jalani hidup ini tanpa Allah SWT dalam hidup kita?

Dengan mengetahui Allah SWT, kita akan lebih mengenali Allah SWT. Kalau tidak kenal maka tidak akan cinta. Jikalau kita tahu dan kenal Allah SWT dengan lebih mendalam, akan bertambah kesayangan kita kepadaNya lalu kita akan memasukkanNya ke dalam kehidupan kita. Kita akan menjadikan Allah SWT sebagai tujuan hidup kita. Maka dengan itu, satu nama yang akan saya kongsikan adalah nama Allah SWT yang sangat cantik dan ianya berbunyi, Al-Ghaniy.

Al-Ghaniy maksudnya yang Maha Kaya. Allah SWT yang Maha Kaya, dan tiada sesuatu pun yang kaya raya di muka bumi dan alam semesta ini kecuali Allah SWT. Setiap apa yang ada di bumi ini adalah milikNya. Kalau Allah SWT tiada, maka semua pun tidak akan wujud. Allah SWT yang menciptakan semua perkara. Allah SWT yang memiliki semua benda dan daripada Allah SWT semuanya datang dan kepada Allah kita akan kembali.

Dan kerana itu, apabila seorang meninggal dunia, kita selalu lafazkan:

“إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”

“Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita akan Kembali.”

Memang benar, daripada Allah lah kita datang, kerana Allah yang Maha Kaya. Sebagaimana yang Allah SWT katakan di dalam kitabNya yang suci:

يٰۤاَيُّهَا النَّاسُ اَنۡتُمُ الۡفُقَرَآءُ اِلَى اللّٰهِۚ وَاللّٰهُ هُوَ الۡغَنِىُّ الۡحَمِيۡدُ

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Surah Fatir Ayat 15)

Kami semua fakir miskin dan kami semua memerlukannya, dan Dialah yang Maha Kaya. Alam ini memerlukan Allah SWT. Bumi ini tidak boleh bergerak tanpa kuasa Allah SWT. Malaikat tidak akan melakukan tugasNya tanpa izin Allah SWT. Hujan tidak akan turun kecuali jika Allah SWT menurunkan hujan tersebut.

Bagaimana kita boleh menghayati dan amalkan Al-Ghani dalam kehidupan seharian?

Ia boleh dilaksanakan di dalam dua perkara:

Pertama, Sentiasa meminta Allah SWT dalam apajua hajat kita.

Tidak kira hajat duniawi atau hajat ukhrawi. Allah SWT suka apabila hambaNya meminta daripadaNya. Kenapa kita minta? Kerana dialah yang Maha Kaya. Kalau kita tidak mempunyai wang, kita akan usaha untuk mendapatkan rezki, meminjam daripada orang yang kaya atau yang lebih berkemampuan. Maka dalam dunia ini, Allah yang Maha Kaya, Dialah yang memiliki segala sesuatu, maka kita perlu untuk memintaNya. Kita boleh lihat yang sedemikian daripada kisah suatu Ulama di mana beliau akan meminta Allah SWT dahulu apabila hendak membeli garam sahaja. Pasti kita akan rasa bahawa perkara ini merupakan perkara yang remeh. Mengapa harus kita berdoa untuk benda yang sangat kecil? Mari kita renungkan semula contoh yang diberikan. Apabila ibu atau ayah kita menyuruh kita untuk membeli garam, tanpa izinNya, kita tidak akan sampai ke kedai tersebut. Boleh jadi pada pertengahan jalan itu, kita meninggal, atau tidak pun diizinkan untuk ke sana. Boleh jadi kita sampai ke kedai itu dan tidak ada garamnya. Semuanya akan jadi dan pulang dengan izin Allah SWT. Jadi bagi setiap hajat duniawi kita, pertama sekali kita perlu meminta Allah SWT terlebih dahulu. Janganlah kita meminta manusia yang lain, dan jadikanlah Allah SWT yang pertama, dan kemudian manusia. Kerana pada akhirnya, jika kita meminta manusia manapun yang berada dalam bumi ini, ia tidak akan berlaku tanpa keizinan Allah SWT.

Kedua, Kalau kita tahu Allah SWT itu yang maha Kaya maka kita perlu bersyukur kepadaNya.

Sebabnya, Allah SWT memberi kepada kita tanpa kita meminta pun. Allah SWT maha kaya dan tahu bahawasanya manusia sangat memerlukanNya tanpa kita tanya. Lihatlah badan kita sendiri, lihatlah perut kita yang bergerak dengan sendiriNya tanpa kita berfikir. Bayangkan kalau perut kita sakit maka kita cepat-cepat ke Doktor, dan perkara seperti ini jarang kita perasaan. Maka dengan itu, setiap nikmat yang kita ada, yang kita nampak dalam kehidupan seharian, kita perlu bersyukur kepadaNya kerana Allah yang Maha Kaya dan pada masa yang sama Dialah yang memberi tanpa kita meminta pun.

Alhamdulillah, kita berada di dalam zaman COVID-19, dan perlahan-lahan akan kita keluar daripada pandemik ini. Jangan kita lupa untuk bersyukur kerana kita masih bernafas, masih bernyawa, ada yang masih mempunyai keluarga, ada tempat tinggal, ada makanan, kerja dan sebagainya. Ada sesetengah masa, kita akan rasa susah. Namun, harus kita fikir kembali dan ingatkan diri tentang banyaknya nikmat yang kita dapati. Berapa banyak nyawa yang kita dapat selamatkan lagi-lagi di Singapura yang mana kita masih selamat dan sihat, masih lagi dapat tinggal dengan keluarga dan masih dapat makan apa yang kita hendaki. Itulah sebabnya kita patut bersyukur sebelum nikmat itu pergi.

Manusia seringkali terlepas pandang, apabila hilangnya nikmat itu, barulah kita rasa rugi dan menyesal. Sebelum kita menyesal dan bersedih tatkala nikmat itu ditarik, kita perlu bersyukur kepadaNya dan senantiasa memintaNya kerana semua perkara datang daripadaNya dan akan Kembali kepadaNya jua.

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu” (Surah Ibrahim Ayat 7)

Semakin bersyukur, semakin banyak akan diberikan dan ia juga dapat meyakinkan lagi kepercayaan kita bahawa Allah SWT adalah yang Maha Kaya.

Dibentangkan oleh: Ustaz Khairulzaman Rahmat