Apakah itu Bulan Zulhijjah?

Bulan Zulhijjah ialah bulan yang penuh dengan keistimewaan serta keberkatan dari Allah SWT. Bulan Zulhijjah juga tergolong dalam kategori Bulan-Bulan Haram.

4 Bulan Haram

Masyarakat Arab pada zaman dahulu sering bertelingkah. Peperangan dan kacau bilau selalu berlaku. Jadinya, mereka bersetuju untuk mengambil 4 Bulan bagi mereka untuk “mengharamkan” mereka dari melakukan apa-apa kacau bilau.

Dalam konteks harini, Ulama berpendapat agar kita mempertingkatkan pahala dan menghindarkan dari dosa.

Qurban: Satu Kisah Ibrahim & Ismail

Antara ibadah yang boleh dilakukan adalah Ibadah Qurban. Ibadah Qurban adalah antara Sunnah yang dianjurkan mengikuti kisah Nabi Ibrahim AS ketika diperintahkan Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS. Tanpa sebarang persoalan dan bantahan, Nabi Ismail AS mengatakan kepada ayahnya untuk melaksanakan apa yang disuruh oleh Tuhan mereka (SWT) dan redha dengan suruhan tersebut. Bab ini disebutkan di dalam Al-Quran, di dalam Surah As-Saffat Ayat 102. 

Daripada kisah ini, kita dapat meraih manfaat bahawasanya kedua orang Nabi Allah SWT sanggup melakukan apa sahaja meskipun mengorbankan anak/orang yang paling disayangi untuk menuju ke jalan yang benar. Hal ini merupakan suatu Ibrah (pengajaran) bagi sekalian Umat supaya bertanya kepada diri masing-masing adakah kita sanggup meninggalkan apa-apa sahaja hanya untuk keredhaan Allah SWT sebagaimana ia dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail AS?

Amalan-amalan Zulhijjah

Zulhijjah merupakan salah satu daripada bulan yang paling mulia di dalam kalender Islam. Terdapat terlalu banyak fadhilat dan keistimewaan bulan ini. Sangat digalakkan untuk mendapatkan manfaat di dalam Bulan Zulhijjah ini dengan mempraktikkan sunnah-sunnah Zulhijjah. Di antaranya adalah puasa sebelum perayaan Eidhul Adha. 

1. Berpuasa pada 1 – 9 Zulhijjah & Ganjaran Hari Arafah

Ia digalakkan untuk berpuasa daripada awal zulhijjah hingga 9 zulhijjah. 9 zulhijjah merupakan Hari Arafah. Arafah merupakan hari yang sangat mulia dan Allah SWT telah berjanji kepada mereka yang berpuasa pada hari dengan ganjaran yang sangat besar, iaitu kemaafan bagi dosa-dosa yang dilakukan seorang hamba sepanjang tahun tersebut. 

Dari Abu Qatadah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: ” Puasa hari ‘Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (HR Tirmizi No: 680) Status: Hadis Hasan.

2. Memperbanyakkan Zikr dan Amal Soleh 

Bulan Zulhijjah adalah bulan yang sangat mulia selain Ramadan dan mempertingkatkan zikr dan amal soleh akan meninggikan ganjaran dan berkat bagi seseorang hamba. Maka dengan itu, ia sangat digalakkan untuk melazimkan membaca zikir dan al-Quran, untuk mendapatkan fadhilat bulan tersebut. Selain itu, kita juga boleh mengajak ahli keluarga dan teman-teman untuk melakukan yang sama untuk menyemarakkan semangat Zulhijjah.

3. Amalan-amalan yang dilarang pada bulan Zulhijjah

Terdapat beberapa amalan yang tidak digalakkan pada bulan tersebut. Di antaranya adalah: 

  1. Memotong kuku 
  2. Memotong rambut 

Ia disebutkan di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW berkata:

Artinya: “Apabila sepuluh hari pertama Dzulhijjah telah masuk dan seorang di antara kamu hendak berqurban, maka janganlah menyentuh rambut dan kulit sedikitpun, sampai (selesai) berkurban,” (HR Ibnu Majah, Ahmad, dan lain-lain).

Ia sangat digalakkan untuk sediakan diri sebelum minggu tersebut dengan memotong kuku dan rambut. Namun, jika dalam keadaan terpaksa ataupun darurat, maka ia dibolehkan untuk memotongnya. 

Tamatnya Tahun

Dengan menjelangnya Zulhijjah, telahpun datang pengakhiran tahun. Tamat sudah satu tahun yang dipenuhi dua belas bulan. Namun begitu, ianya tidak bermaksud tamatnya amal ibadah kita. Datangnya Muharram sebagai tahun yang baru bererti kita mulakannya dengan semangat baru yang lebih baik. Moga dengan itu, ayuhlah kita penuhi pengakhiran tahun Hijrah ini dengan sebaik-baik amal dan ibadah kepadaNya.

Moga Allah terima segala amal dan ibadah kita. Moga setiap pengorbanan yang kita lakukan seikhlasnya dibalas dengan sebaik-baik balasan dariNya.