Dirgahayu Negaraku!

Marilah kita bersatu

Dengan semangat yang baru

Semua kita berseru

Majulah Singapura

Bingkisan kata dari lirik lagu kebangsaan dapat ditafsirkan dalam pelbagai cara. Saya lebih cenderung untuk mengambil ia sebagai paksi peri pentingnya semangat bersatu sesama kita.

Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah “Bersama-sama, semarakkan semangat Singapura kita” mengajak rakyat Singapura khususnya untuk terus kekal teguh bersatu dalam era pasca pandemik COVID-19.

Dunia yang berpaksikan teknologi menjadikan maklumat tersebar dengan pantas sekali. Adakalanya, terdapat sebahagian maklumat yang tidak benar yang disebarkan di internet dan social media.

Photo by Pixabay on Pexels.com

Penyebaran maklumat yang tidak benar mampu menjejaskan hubungan sesama manusia khususnya jika ia melibatkan maruah, agama atau bangsa. Perkara ini dapat dilihat secara meluas ketika fasa kita melawan pandemik ini. Mesej-mesej berantai yang tidak diketahui asal usulnya dikongsi di Whatsapp, menimbulkan pelbagai spekulasi seperti isu vaksin yang tersebar dalam kalangan masyarakat.

Kehidupan menghormati sesama sendiri sebagai masyarakat majmuk di Singapura yang mempunyai indeks kepelbagaian agama, patut dipupuk sejak kecil lagi. Agama adalah komponen penting dalam kehidupan seseorang. Unsur dan anasir radikal tidak kira agama patut dibantah dari akarnya agar tidak tersemat dalam masyarakat. Justeru, perbalahan atas nama agama patut dijauhi.

Belia khususnya, tidak patut diperkecilkan dalam usaha-usaha sebegini kerana tenaga mereka patut dihargai untuk menghidupkan budaya ini. Semangat mereka yang jitu dan azam mereka yang tinggi dalam membangunkan masyarakat perlu mendapat sokongan seluruh masyarakat untuk memajukan lagi Singapura.

Kes-kes kesihatan mental yang mendapat liputan kebelakangan ini juga patut diberi tumpuan. Kehidupan semasa pandemik COVID-19 khususnya dalam isolasi, boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. Hal ini demikian kerana cabaran mahupun tekanan sistem pendidikan sedia ada, mampu membuat seseorang mengambil tindakan yang drastik seperti membunuh diri, memudaratkan diri sendiri dan lain-lain lagi. Usaha membendung pandemik Covid-19 perlu berjalan seiring dengan usaha memastikan kesihatan masyarakat terjaga. Kita perlu mengambil prihatin yang lebih mendalam bagi isu kesihatan mental ini, dan membicarakannya sebagai satu bangsa, dan terbuka untuk mencari solusi untuk menjaga rakyat Singapura kita. Tambahan pula, kita perlu lebih proaktif dalam menyemarakkan sifat empati, rahmah, ihsan dan kasih sayang dalam menangani masalah kesihatan mental dikalangan masyarakat.

Umat Islam di Singapura telah berjaya menunjukkan daya tahan yang kuat dalam usaha membendung penyebaran Covid-19. Pengorbanan masyarakat dalam menyambut Empat Hari Raya seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum COVID-19 menunjukkan keprihatinan kita dalam membantu negara memutus rangkaian jangkitan. Hal ini dapat dilihat melalui pematuhan masyarakat dengan piawaian semasa menyambut Hari Raya seperti peraturan 2 orang bagi setiap lawatan, melakukan solat Raya di rumah, menjaga jarak jauh dan lain-lain lagi. Tambahan pula, rata-rata 88 peratus masyarakat Melayu Islam sudahpun mendapatkan suntikan vaksinasi. Ini jelas menunjukkan usaha mereka dalam membendung penularan Covid-19.

Tambahan pula, kita perlu lebih proaktif dalam menyemarakkan sifat empati, rahmah, ihsan dan kasih sayang dalam menangani masalah kesihatan mental dikalangan masyarakat.

Semoga dengan pengorbanan dan usaha ini, ia diterima Allah SWT sebagai ikhtiar kita bersama melawan COVID-19.

Akhir kalam, jutaan terima kasih kepada semua barisan hadapan atas segala khidmat dan pengorbanan dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk Singapura.

BERJAYA SINGAPURA!

Dirgahayu Negaraku!

Ahmad Mundzir Bin Jasmani
Ahmad Mundzir Bin Jasmani

Founder of FANZURUU

BA in Dakwah and Usuluddin, Islamic University of Madinah

I enjoy myself in the company of youth, as they are the beacons of the community in the near future. It might be hard and sometimes tiring, but watching them grow gives me the satisfaction that last.